Tuesday, October 20, 2015

Politik Negara Berkeceramuk



Sebagai Rakyat yang matang terhadap situasi Politik, seharusnya kita menyedari perkara seperti ini dihadapi oleh setiap Negara yang ber-Kerajaan.

Alangkan Negara jiran sering bergulingan, maka sudah barang tentulah Malaysia tidak ketinggalan. Walau pelbagai fahaman songsang meracuni Rakyat kita, Alhamdulillah kita tidak ketahap mereka.

Setiap Era pemerintahan tidak pernah lekang dari serangan demi serangan baik dari luar mahupun dalam Negara sehinggakan Era Tun yang telah berlalu dengan meninggalkan pelbagai Mercu kebanggaan malahan dijulang ke peringkat dunia sehingga kini masih juga ditentang oleh mereka-mereka yang tidak menyenangi kewujudannya didalam kancah Politik Negara semasa.

Yang jelas dalang luar bersembunyi di sebalik Parti Pembangkang yang tidak mengambil kira baik buruk yang melanda Negara asalkan matlamat mengambil alih tampok pemerintahan dicapai.

Dewasa ini Rakyat Malaysia menghadapi situasi yang lebih getir apabila salah benar isu-isu ber-profile tinggi yang disebut-sebut secara terusnya melibatkan Perdana Menteri tidak lagi menjadi keutamaan akibat kesan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat apatah lagi GST mengambil tempat didalam kehidupan Rakyat masa kini.

Rombakan Kabinet mengejutkan Rakyat apabila berberapa Menteri yang terbukti cemerlang disingkirkan akibat secara terbuka mengkritik kredibiliti Perdana Menteri menangani isu-isu Negara yang melibatkan beliau secara peribadi.

Jika angin tidak bertaufan, masakan pokok menyembah kebumi, begitulah jika kekusutan sekadar ciptaan masakan Pemimpin-pemimpin Negara luar turut berbunyi, mengkritik beliau secara terbuka sehinggakan keyakinan Pelabur diperingkat dunia juga luntur terhadap Negara.

Seharusnya dengan isu-isu yang seolah tiada kesudahannya malahan semakin hari semakin menular, menyemai benih kebencian diminda Rakyat dan ketidakpercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan barisan kepimpinanya tidakkan mampu ditepis dengan segerombolan Pejuang Cyber upahan mahupun program-program kebajikan yang gah diatas kertas laporan semata.

Bak pepatah orang lama, “Akibat Nila setitik maka rosaklah susu sebelanga” pepatah ini ada benarnya namun “Dalam setandan pisang pasti ada yang membusuk sebiji dua” yang busuk kita potong dan buang selebihnya pasti mampu dimanfaatkan.

Maka sebagai Rakyat yang prihatin dan berpengetahuan tinggi dewasa ini, kita seharusnya bijak menilai dan berpegang kepada prinsip bahawa “Kebenaran Kekal Benar”. Bukan keseluruhan barisan yang ada menghancurkan malahan mereka seharusnya bijak mengekalkan kedudukan agar masih ada lagi Pemimpin berjiwa Rakyat berada di kepimpinan teratas lantas kebajikan Rakyat tidak terabai secara total.

Enak menyerang biarlah dengan kebenaran jangan fitnah jadi sulaman kehidupan, hinggakan usaha membela Rakyat jadi taruhan akibat kebencian terlampau terhadap tampok pemerintahan.

Sedikit hasutan Developer yang gagal membida maka bertebaran didada media maya menuntut kononnya tanah di Kampung Datuk Keramat akan dibangunkan bangunan-bangunan mewah yang harganya mencecah RM750K. Maka bangkitlah pelbagai NGO menjadi wira Rakyat menentang usaha Menteri Wilayah dan DBKL agar dibina 100% RUMAHWIP.

Hakikatnya...
Sebanyak 274 unit dengan 800 kaki persegi RUMAHWIP dijual dengan harga RM188K hingga RM198K dan 274 unit dengan 1000 kaki persegi dibina dengan status pasaran terbuka dengan harga RM560K.

Perkara ini menimbulkan ketidakpuashatian segelintir individu yang gagal memenuhi kepentingan mereka apabila Menteri Wilayah berjaya melakukan “cross subsidy” tanpa menggunakan peruntukan Kerajaan. Ini merupakan satu contoh dari pelbagai usaha pemimpin yang berusaha untuk Rakyat yang dimanupulasikan semata-mata atas kepentingan golongan tertentu.

Sebagai Rakyat yang bijaksana gunakanlah kepintaran agar tidak mudah terpedaya seterusnya berkemampuan menilai kebenaran berbanding kebathilan.

Lakukanlah penelitian sebelum kita diperbodohkan dalam kecerdikan yang nyata.