Friday, May 08, 2015

T r a d i s i

Beri Kebebasan Najib Tadbir Negara
UMNO Kelantan
16 April 2015 - BERNAMA NEWS



Kata Tokpa…
“Kami menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahukan supaya beliau diberi kebebasan mentadbir Negara mengikut gaya kepimpinannya yang telah terbukti berhasil”


Pandangan sebagai Rakyat…

Rakyat sentiasa menyokong segala usaha YAB Perdana Menteri dan barisan kepimpinannya dalam mentadbir Negara atas keinginan memiliki masa depan yang terjamin. Maka itu tidaklah bermakna Rakyat mahupun mana-mana pihak yang berkenaan akan terus menyokong mahupun berdiam diri apabila keraguan semakin terserlah. Seandainya keraguan yang menyelubungi Rakyat ketika ini berjaya dipulihkan dek penjelasan yang jelas, maka sokongan Rakyat terhadap YAB Perdana Menteri akan terus diperolehi but don't take it for granted.

Kata Tokpa…
“Kelantan yakin Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional mampu memimpin dan memperkukuhkan lagi Parti terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14”

Pandangan sebagai Rakyat…

Ya benar...hanya jika komponen Barisan Nasional benar-benar berusaha memulihkan Imej, Perjuangan dan Integriti Parti dengan kaedah yang lebih rasional, barulah ramalan terhadap keputusan PRU14 mampu digunapakai seterusnya direalisasikan. Resam ramalan...ianya tidak akan menjurus kepada keputusan 100%, kerana ianya tetap bergantung kepada keputusan Majoriti Pengundi.

Kata Tokpa…

"Kita tidak menyokong membuta tuli; kita sokong bukan kerana disogok dengan wang ringgit; kita bukan membodek Pemimpin; tetapi atas keinsafan perjuangan kita yang besar iaitu untuk memastikan UMNO terus utuh memimpin Negara ini"

Pandangan sebagai Rakyat…

Benar dan saya bersetuju. Setiap Pemimpin, hatta dari Parti mana sekalipun, wajib berpegang kepada Prinsip Adil dan Amanah. Atas dasar keinsafan apakah lantas kenyataan sogokan dan bodekan disentuh, hanya individu yang mengeluarkan kenyataan sedemikian sahaja yang mengetahui motif dan hakikat yang tersirat disebaliknya. Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana Pemimpin Politik tidak sepatutnya berbaur defensif.

Kata Tokpa…

“Sudah menjadi tradisi UMNO Kelantan untuk membela Pemimpin termasuk semasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO”

Pandangan sebagai Rakyat…

Kenyataan sedemikian secara langsung menunjukkan ketidakseimbangan prinsip seseorang Individu yang berperanan sebagai Ahli Politik. Adalah tidak wajar kiranya seseorang Pemimpin itu dibela atau dipertahankan atas dasar tradisi semata. Bukankah ianya menjadi tanggungjawab setiap Individu yang berperanan dalam Politik mempertahankan Pemimpin mereka atas dasar Etika dan Prinsip yang AdilApakah Tokpa sedang mempersendakan bekas-bekas Perdana Menteri yang disebutkan, ataupun tanpa sedar beliau sedang mempersendakan YAB Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional dengan ungkapan yang sedemikian, hanya beliau sahaja yang mampu merungkainya. Jika sistem tradisi yang sedemikian terus diadaptasi oleh Pemimpin-pemimpin dalam usaha mereka memimpin sesebuah Negara, bermakna pihak yang mengadaptasinya itu tidak pasti dengan pendirian mereka selaku pemangkin Parti. 

Sewaktu Tun Dr. Mahathir meneraju Negara, tidak dinafikan ada jatuh bangunnya, namun beliau telah dengan jayanya meletakkan Negara kita di pesada Dunia, wa'ima dari segi Pembangunan mahupun pertumbuhan Ekonomi yang pesat lagi jitu. Justru itu, mercu tanda hasil usaha beliau dan barisan Kabinetnya jelas kelihatan disetiap pelusuk Negara malahan menjadi kebanggaan Rakyat, sehinggakan pihak yang menentang ketika keseluruhan mercu hendak dibina dan direalisasikan, bermati-matian berusaha untuk merampas dan menguasainya.

Hari ini rata-rata diseluruh Dunia mengikhtiraf Malaysia sebagai salah sebuah Negara berbilang Kaum yang pesat membangun didalam keadaan Rakyatnya berbeza Bangsa dan Agama, malahan sehingga ke saat ini, masih tidak lekang dek bibir majoriti Rakyat Negara kita menobatkan Tun Dr. Mahathir dengan gelaran Bapa Pemodenan yang telah berjaya memimpin Negara dengan berkesan selama 22 tahun.  Mereka-mereka yang tidak putus berusaha menjatuhkan Imej dan Kredibiliti Tun Dr. Mahathir hanya kerana perwatakan beliau yang lantang menyuarakan sesuatu, perlu sedar mengapa beliau disegani majoriti Pemimpin bertaraf antarabangsa.

Namun apabila menyentuh tentang Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, adakah tradisi dalam konteks yang dimaksudkan oleh Tokpa ini yang menyebabkan atau menjadi punca utama terhasilnya kegagalan Tun Abdullah Ahmad Badawi di era pemerintahannya, hanya Tokpa sahaja ada jawapannya, kerana rata-rata Rakyat hanya mampu mengenal mercu tanda anak menantunya sahaja ketika itu. 

Sebagai seorang pemimpin yang telah sekian lama berkecimpung dalam Arena Politik, sudah pastinya Tokpa lebih mengetahui akan elemen-elemen yang menyebabkan terserlahnya kelemahan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, dimana dalam tempoh kurang satu (1) penggal, Rakyat dipermangsakan dan dibebani pelbagai masalah terutamanya didalam segi Ekonomi. Oh ya, tidak ketinggalan juga, keluarnya arahan membebaskan Ketua Parti Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara hanya selepas dua (2) minggu Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-5. Adakah tindakan sesetengah Rakyat yang menyokong Barisan Nasional, tidak ketinggalan dikalangan Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional itu sendiri yang membantah keputusan pembebasan Ketua Pembangkang ketika itu juga bersikap peribadi terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi, mungkin Tokpa berkemampuan memberi penjelasan terhadap status bantahan tersebut. 

Kata Tokpa…
"Tun Dr Mahathir pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, UMNO Kelantan berdiri teguh di belakang Tun Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO. Kita juga mempertahankan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau diserang. Maka kali ini apabila Datuk Seri Najib diserang hebat, kita tidak memandang ringan perkara ini, kita memandang serius serangan terhadap pemimpin kita”

Pandangan sebagai Rakyat…

Benar dan saya juga bersetuju. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Individu yang berperanan dalam Politik untuk memastikan teguhnya berdiri mempertahankan Pemimpin mereka, dan prinsip sedemikian bukan sahaja dipraktikkan di Malaysia malahan harus dipraktikkan di seluruh Dunia dan bukan sahaja dikalangan Pemimpin Politiknya malahan dikalangan Rakyatnya juga. Tiada yang akan teguh berdiri mempertahankan Pemimpin mereka atas dasar tradisi mahupun membuta tuli, melainkan Negara-negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Kuku Besi (dictatorship) terhadap Rakyatnya.

Sementara itu, berdirinya teguh mempertahankan Tun Dr. Mahathir dizaman pemerintahannya, dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Negara kita (yang diterajui olehnya), ditambah pula dengan kegagalan demi kegagalan pihak-pihak yang kepingin melihat beliau diheret ke Mahkamah (setelah beliau bersara dari Arena Politik)…Tun Dr. Mahathir memang selayaknya dipertahankan.

Manakala, berdiri teguh dibelakang YAB Datuk Seri Najib untuk mempertahankannya atas kegagalan beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Tun Dr. Mahathir (bukan serangan, hanya soalan), ditambah pula dengan segelintir para Menterinya mahupun pihak-pihak yang menyokongnya, yang sedaya upaya berusaha mempertahankan beliau dengan kaedah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang bijak, difensif, sinis dan jelas berselindung disebalik serangan peribadi bagi pihaknya, tidak mampu dibandingkan dengan berdiri teguh bersama Tun Dr. Mahathir.

Mereka-mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang bijak, menyebabkan keadaan menjadi lebih keruh, dipersenda lalu ditertawakan diikuti dengan pertikaian demi pertikaian yang tiada henti terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Najib.

Demikian juga apabila menyentuh tentang Tun Abdullah Ahmad Badawi. Rata-rata Rakyat sedia maklum akan kelemahan beliau ketika memegang jawatan. Faktor 4K yang dibangkitkan pelbagai pihak bukanlah satu tuntutan mahupun halusinasi Rakyat namun satu kenyataan.

Kesemua Pemimpin Politik di Malaysia, tidak kira dari Parti mana sekalipun, harus dan wajib belajar dari kesilapan yang lampau bagi mengelak dari terus dipersendakan oleh penyokong sendiri.

Bak kata Rakyat, apabila kita menyuarakan sesuatu dalam memegang prinsip Rakyat Didahulukan, tidak bermakna kita di pihak Parti Pembangkang mahupun membantah melulu, sebaliknya bersuaranya kita kerana inginkan masa depan yang lebih cerah, terutamanya untuk anak-anak kecil yang masih tidak mengenal erti kehidupan apatah lagi anak-anak remaja yang kian hilang pertimbangan dan haluan pendirian yang berpunca dari kekeliruan senario Politik yang semakin meruncing. Jika amalan melabelkan setiap pengkritik sebagai anggota Parti Pembangkang terus terusan ditradisikan, maka yang dikritik itu tidak akan berkemampuan untuk mengadaptasi prinsip Pencapaian Diutamakan.

No comments:

Post a Comment